Thursday, September 2, 2010

LATAR BELAKANG :

Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (Ketereh, Kota Bharu Kelantan) dilihat dalam konteks seni dan kebudayaan.

Bunyi deruman ekzos Motorsikal Klasik British ini yang bergema dengan kuat sudah cukup untuk mendirikan bulu roma para peminat, penggemar dan sesiapa sahaja yang melihatnya berjalan merentasi jalan-jalan kampung dan jalan raya di sekitar Ketereh, Kota Bharu Kelantan. Deruman ini lebih hebat dari motor Chooper ‘easy-rider’ yang kita lihat pada waktu ini. Ianya lebih klasik dan semulajadi asal dari pembuatannya.

Pada awal 80-an, seramai 20 orang ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti guru dan bekerja sendiri telah melihat Motorsikal Klasik British ini sebagai sesuatu yang unik dan mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri. Oleh itu, mereka ini telah bersepakat untuk menubuhkan satu kelab motorsikal klasik yang dikenali sebagai Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK). Satu lagi kelab motorsikal klasik yang diberi nama Kota Bharu Classic Bikers (KBCB) yang terdiri dari 25 orang ahli juga ditubuhkan. Presiden Kelab KBCB ialah saudara Wan Zulkifli Bin Wan Kassim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Zulkiflli telah menerajui kepimpinan KBCB ini.

Antara model-model motorsikal klasik British yang digemari ialah BSA (Birmingham Small Army), NORTON, TRIUMPH, AJS, MATCHELES, dan ROYAL ENFIELD. Motorsikal klasik British ini terdiri daripada 200cc hingga 750cc kuasa kuda dan Motorsikal klasik British ini juga telah dikeluarkan antara tahun 1930-an hingga 1950-an.

Mereka selalu berjumpa, merancang, berbincang, dan menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan kelab dan ahli mereka. Apabila ingin berkonvoi, kedua-dua kelab ini akan bergabung dan berkonvoi beramai-ramai melalui setiap pelusuk bukan sahaja di dalam negeri malah di peringkat antarabangsa juga. Antara aktiviti terkini yang dihadiri dengan jemputan dalam negeri pada tahun ini ialah seperti di Pesta Air Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 30hb dan 31hb Mac 2009, Hari Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Politeknik Kota Bharu (Kok Lanas), Sekolah Menengah Sains Machang, dan pada 10hb Oktober 2009 sebanyak 15 buah motorsikal klasik British akan dipertontonkan di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur, Kuala Besar (Jalan Kedai Buloh-Pantai Cahaya Bulan).



Gambar kenangan motorsikal klasik British yang di pamerkan
di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kelantan.

Di peringkat negeri pula, acara tahunan juga diadakan di mana seluruh kelab motorsikal klasik British akan berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah berpameran. Antara aktiviti di peringkat negeri yang dijalankan seperti berikut; 2004: Kelantan, 2005: Johor, 2006: Kuantan, Pahang, 2007: Kuala Lumpur, 2008: Terengganu, dan 2009: Kedah. Tidak lupa juga jemputan Perhimpunan besar-besaran di peringkat antarabangsa dari sekitar Negara ASEAN seperti Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Filipina, Thailand, Singapura dan Brunei. Ada juga peminatpeminat dari eropah dan India yang turut hadir bagi memeriahkan lagi suasana. Komunikasi ini menjalinkan satu semangat perjuangan bagi penggemar-penggemar motosikal klasik di seluruh pelusuk dunia.


Sijil dari Nine Rider’s Classic Club yang diperolehi dari
Malaysian International Classic Bike Festival Terengganu 2009
pada 1hb hingga 3hb mei 2009 adalah antara bukti penglibatan
kelab motorsikal klasik ini yang masih aktif hingga ke hari ini.

Ahli-ahli kelab motorsikal klasik British ini menganggap aktiviti ini sebagai memenuhi keperluan hobi dan masa lapang tetapi bergerak secara serius. Selain daripada memenuhi keperluan individu sebagai hobi, keperluan sosial yang terkait juga dikeutarakan yang mana kerjasama setiap ahli yang berperanan saling membantu dalam mencari alat-alat ganti dan membaiki motorsikal yang mana kos untuk membaikinya adalah bergantung kepada keadaan motorsikal yang diperolehi dari keadaannya yang terbiar di tepi-tepi rumah kampung, reban ayam, bengkel-bengkel motorsikal lama yang tersadai tanpa ada yang menyedari bahawa motorsikal klasik British ini sebenarnya mempunyai nilai harga yang tinggi. Harga sebuah motorsikal klasik British ini boleh mencecah RM10, 000 hingga RM70,000 ringgit.



Keratan Akhbar Sinar Harian Isnin, 3hb November 2008 bukti yang menunjukkan Motorsikal klasik British ini mencecah harga RM70, 000.


Memandang ekonomi sebagai salah satu teras dalam Seni Urban, ingin diperjelaskan disini bahawa terdapat komuniti masyarakat yang meminati motosikal klasik British yang memperolehi pendapatan lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Dengan adanya nilai keyakinan yang tinggi, mereka percaya hasil jualan motorsikal klasik sebegini mampu mengembangkan lagi empayar dan cita-cita mereka yang ingin melihat suatu hari nanti kelab motorsikal klasik ini akan dipandang serius oleh masyarakat bahawa mereka bukan membuat kerja yang sia-sia tetapi telah melakukan satu transisi kesedaran seni visual pada bidang seni reka industri yang begitu tinggi nilainya. Nilai estetika pada kesedaran ini sudah cukup membuktikan bahawa seni yang dipandang sebagai ekonomi tadi telah diangkat sebagai satu penghargaan buat teknologi manusia dalam arena permotoran dunia suatu ketika dahulu. Jika diamati, teknologi kejuruteraan british ini masih mampu dilihat hingga ke hari ini dengan rekaan yang kukuh dan tahan lama, serta penggunaan material yang mampu menjangkau zamannya. Begitulah pemikiran pereka-pereka terdahulu yang patut dicontohi oleh pereka-pereka masa kini samada dari segi idea, teknik dan penggunaan bahan binaan motorsikal yang digunakan mahupun nilai estetika pada rekaannya.



Penjualan nombor plat pendaftaran ini juga dapat menampung pendapatan
sampingan dan mengembangkan lagi kelab motorsikal klasik British mereka. Jika dilihat dan dihayati, no pendaftaran ini mempunyai nilai estetika yang tinggi dan diminati oleh mereka yang inginkan kehendak melampaui keperluan sebagai simbol kemewahan.



Pengetahuan dan keyakinan pada teknologi seni reka industri ini yang disedari oleh ahli-ahli kelab bahawa mempunyai satu nilai atau kepercayaan tentang motorsikal klasik British ini sebenarnya ia boleh dijadikan sumber pendapatan yang begitu lumayan. Perilaku sosial yang terbentuk oleh ahli-ahli ini menguatkan lagi semangat juang mereka yang pada awalnya diangkat sebagai hobi dan boleh juga dijadikan sebagai sumber pendapatan mereka.

Menurut Presiden Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK) yang dikenali dengan panggilan Cikgu Riedzuan ataupun Cikgu Wan, di sekitar Ketereh sahaja terdapat 10 buah motorsikal klasik British. Pemilik dan ahli kelab sering berkumpul di bengkel Redza Classic yang berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh untuk membaiki dan servis motorsikal klasik British kesayangan mereka.


Senario bengkel Redza Classic yang mana tempat
ahli-ahli Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK)
berkumpul dan menyelenggara motorsikal kesayangan mereka.



Penulis semasa menemu bual Presiden Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK)
yang dikenali dengan panggilan Cikgu Riedzuan ataupun Cikgu Wan.

Pengetahuan yang mendalam dan kepakaran pomen-pomen yang telah diperjelaskan oleh penulis yang menganggap motorsikal klasik British ini sebagai satu Seni Urban dalam konteks kebudayaan dapat dibuktikan bahawa pengetahuan menjadi teras utama dalam Seni Urban iaitu apabila pomen-pomen ini mendapat pendidikan dari pelbagai latar belakang samada secara formal, in-formal dan non-formal. Apa yang penting ialah mereka terus mencari maklumat dalam membaiki dan mengekalkan keklasikan motorsikal kesayangan mereka samada dalam bentuk bertulis atau secara verbal (lisan).



Antara bahan manual yang menjadi panduan dalam membaik pulih
dan menyelenggara motorsikal klasik British di bengkel Redza Classic.







DISKRIPSI DAN INTERPRETASI SENI REKA INDUSTRI :
MOTORSIKAL KLASIK BRITISH.

Pengenalan

Apa yang dapat didiskripsi dan diinterpretasikan di sini adalah berdasarkan kepada motorsikal klasik British sebagai objek kajian dan dapat diperjelaskan melaui kerangka konsep seperti di bawah :






KERANGKA KONSEP YANG TERKAIT SECARA
SISTEMIK DAN KOHEREN DALAM MENJELASKAN
MOTOSIKAL KLASIK BRITISH SECARA DISKRIPSI IMEJ,
INTERPRETASI SIMBOL DAN ANALISIS FORMALISTIK.

Setelah beberapa hari datang bersama bapa untuk mencari responden di rumahnya, namun masih gagal menemui mereka. Akhirnya pada 24hb September 2009, kira-kira jam 10.00 pagi penulis datang menemui Cikgu Rosmaini yang mana merupakan seorang guru yang pernah mengajar penulis di bangku sekolah dahulu di bengkel Redza Classic yang berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh. Beliau yang banyak mengetahui mengenai keadaan motorsikal klasik British ini begitu aktif dalam kelab dan merupakan Setiausaha Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK). Berdasarkan kepada hasil temubual bersama beliau, dapatlah didiskripsi dan diinterpretasi tentang sebuah motorsikal klasik British dari model BSA N20 yang dikeluarkan pada tahun 1941.



Penulis yang sedang menemubual Cikgu Rosmaini yang
merupakan bekas gurunya dan kini memegang jawatan sebagai
Setiausaha Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK).

No comments:

Post a Comment