Thursday, September 2, 2010

NILAI ESTETIKA PADA SENI REKA INDUSTRI : MOTORSIKAL KLASIK BRITISH DI KETEREH, KOTA BHARU, KELANTAN.

NILAI ESTETIKA PADA
SENI REKA INDUSTRI :
MOTORSIKAL KLASIK BRITISH
DI KETEREH, KOTA BHARU, KELANTAN.
Oleh :
Syamsul Amri Bin Mohamad Noor,
Sarjana Pendidikan (Seni), UPSI. 2010.

PENGENALAN :

NILAI ESTETIKA PADA SENI REKA INDUSTRI : MOTORSIKAL KLASIK BRITISH DALAM KONTEKS KEBUDAYAAN.

Terdapat banyak konsep tentang budaya yang dibincangkan oleh ramai budayawan.
Sir E.B. Tylor (1871) berpendapat budaya adalah keseluruhan hal yang kompleks termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, hukum, adat-istiadat, dan kemampuan serta kebiasaan lain yang diperoleh manusia sebagai anggota masyarakat. Manakala Margaret Mead (1901-1978) menyatakan budaya adalah perilaku pembelajaran sebuah masyarakat atau sub kelompok.

Raymond Williams (1921-1988) menyatakan budaya mencakup organisasi produksi, struktur keluarga, struktur lembaga yang mengekspresikan atau mengatur hubungan sosial, bentuk-bentuk berkomunikasi khas anggota masyarakat.

Clifford Geertz (1926) mendefinisikan budaya hanyalah serangkaian cerita yang kita ceritakan pada diri kita mengenai diri kita sendiri.

Hashim Awang A.R (1996) menerangkan budaya ialah perlakuan-perlakuan yang dipelajari dan dimiliki bersama. Perlakuan-perlakuan itu ialah perlakuan yang melibatkan kepercayaan, sikap, world view, norma dan nilai murni yang menjadi pegangan masyarakat penganut budaya itu dan kita semua dilahirkan ke dalam satu budaya yang kemudiannya mempengaruhi dan membentuk corak hidup kita sepanjang hayat.

Tjetjep Rohendi Rohidi (2000) menyimpulkan budaya sebagai pedoman hidup yang berfungsi sebagai blueprint atau design menyeluruh bagi kehidupan warga masyarakat pendukungnya, sebagai sistem simbol, pemberian makna, model kognitif yang ditransmisikan melalui kod-kod simbolik dan merupakan strategi adaptif untuk melestarikan dan mengembangkan kehidupan dalam menyiasati lingkungan dan sumber daya di sekalilingnya.

Merujuk David Kaplan, Albert A.Manners (2000): budaya adalah suatu golongan fenomena yang diberi muatan makna tertentu oleh antropogi dalam rangka menghadapi soal-soal yang mereka cuba untuk memecahkannya. Ia merujuk pada fenomena yang tidak dapat secara tuntas jelaskan oleh konsep-konsep psikobiologi.

Ziauddin Sardar, Borin Van Loon (2001) mentakrif budaya sebagai perilaku sosial. Bagi yang lain, budaya bukanlah perilaku, melainkan abstraksi perilaku. Budaya mencakup hampir segala sesuatu.

Robert H.Lavenda, Emily A. Schultz (2007) menyatakan bahawa budaya adalah kefahaman dalam merujuk untuk mmepelajari set idea dan kelakuan manusia yang menjadi anggota sesebuah masyarakat.

Roberta Edwards Lenkeit (2007) berpendapat budaya ialah jumlah keseluruhan pengetahuan, idea-idea, kelakuan, dan ciptaan-ciptaan yang dipelajari, dikongsi, dan disebarkan seperti dalam sistem simbolik bahasa. Bahagian-bahagian ini mewujudkan satu corak perubahan-perubahan itu sepanjang masa dan digunakan sebagai panduan dan piawaian bagi tingkah laku untuk ahli-ahli masyarakat.

Aspek kesenian pula terkandung di dalam budaya. Susan K.Langer (1957), kesenian merupakan lambang tamadun manusia sama ada secara sosial atau secara individu. Buku Art Forms (2002 )mendefinisikan kesenian itu indah dengan luahan kecantikan luaran dan dalaman, dan sentiasa hidup dan berkembang.

Kesenian sebagai pedoman bagi pemenuhan kebutuhan intergratif, yang bertalian dengan keindahan, berfungsi mengintergrasikan berbagai kebutuhan tersebut menjadi suatu satuan sistem yang diterima oleh citarasa yang lansung maupun tidak langsung berkaitan dengan pembenaran secara moral dan penerimaan akal fikiran warga masyarakat pendukungnya. (Lihat Rohidi, Proffesor Dr. Tjepjet Rohendi, 2000)

Jacob Sumardjo berpendapat, seni merupakan sesuatu yang wujud secara terindera. Karya seni merupakan sebuah benda atau artefak yang dapat dilihat, didengar atau dilihat dan sekali gus didengar, seperti lukisan, muzik atau teater. Tetapi yang disebut seni itu berada di luar benda seni sebab seni itu berupa nilai. Apa yang disebut indah, baik, adil, sderhana, dan bahagia adalah nilai. Apa yang seseorang disebut indah dapat tidak indah oleh orang lain. (Jacob Sumardjo, 2000)
Siti Zainon Ismail (1985) berpendapat simbol atau perlambangan mempunyai nilai dan kesan yang tersendiri terhadap penciptaan atau kepada masyarakat yang menghasilkan dan menerimanya sebagai wadah kehidupan seharian. Malah dalam hubungan kewujudannya, ia mempunyai nilai estetika yang dapat dipertanggungjawabkan. Kadang-kadang kita tidak menyedari kewujudannya itu merupakan hasil seni yang dapat dibanggakan.
Kesenian merupakan salah satu konsep asas dalam kebudayaan selain daripada unsur-unsur universal lain yang terdiri daripada bahasa, pengetahuan, teknologi, organisasi sosial, keperluan dan kepercayaan/nilai/agama yang merupakan nilai sesebuah masyarakat. Disini, kesenian yang dimaksudkan ialah Seni Reka Industri yang sememangnya satu bidang seni reka yang telah wujud sekian lama. Motorsikal Klasik British ini yang telah digunakan semasa Perang Dunia ke-2, kini telah diangkat sebagai satu koleksi kesenian yang begitu tinggi nilai estetikanya pada masa kini oleh para penggemar barang-barang klasik dan peminatnya.Penulis begitu yakin bahawa ada satu nilai kesenian yang dapat dirungkai dan dikupas pada Motorsikal Klasik British ini dari segi estetiknya dalam konteks seni dan kebudayaan.

Atas dasar kesedaran seni visual yang ada, penulis cuba membahaskan kebenaran dan melihat seni dalam konteks kebudayaan itu cukup meluas untuk diperkatakan. Kesenian dalam konteks kebudayaan yang dimaksudkan disini ialah Seni Moden atau lebih dikenali sebagai Seni Urban. Seni Urban memperlihatkan pengetahuan, teknologi dan ekonomi sebagai satu landasan penjelasan bahawa seni itu tidak hanya dilihat pada seni sebagai tujuan (seni halus) semata-mata. Berbeza dengan Seni Desa yang memperlihatkan unsur-unsur kesenian yang didominasi oleh kepercayaan, bahasa dan agama/organisasi sosial yang lebih bersifat mengekalkan, Seni Urban lebih bersifat mengubah (kreatif) dalam pengembangannya. Dengan menggunakan Strategi Adaptif (strategi penyesuaian), seni urban ini dilihat sebagai satu pedoman atau panduan hidup dalam konteks kesenian dalam kebudayaan.

Prof. Dr. Tjetjep Rohendi Rohidi pernah mengungkapkan dalam bukunya yang bertajuk ‘Kesenian Dalam Pendekatan Kebudayaan’ bahawa:

“Kebutuhan manusia untuk mengungkapkan perasaan keindahan tampaknya berlaku secara universal dan berlangsung sejak lama. Hasil-hasil penelitian lintas budaya dan prasejarah pada aneka ragam kebudayaan telah menunjukkan bukti-bukti bahwa tidak ada kebudayaan, yang pernah kita kenal, yang di dalamnya tidak menampung bentuk-bentuk dari ekspresi estetik. Ini menunjukkan bahwa betapapun sederhananya kehidupan manusia, di sela-sela memenuhi kebutuhan primernya, mereka senantiasa mencari peluang untuk memenuhi hasratnya dalam mengungkapkan dan memanfaatkan keindahan.” (Rohidi,T.R.,: 2000 : 2)

Oleh itu, boleh dikatakan kelompok masyarakat di Ketereh, Kota Bharu Kelantan ini telah mengembangkan kesenian seni reka industri (motorsikal klasik British) ini sebagai satu ungkapan dan pernyataan rasa estetika yang merangsang mereka sejajar dengan pandangan, aspirasi, keperluan, dan gagasan-gagasan yang mendominasinya.
LATAR BELAKANG :

Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (Ketereh, Kota Bharu Kelantan) dilihat dalam konteks seni dan kebudayaan.

Bunyi deruman ekzos Motorsikal Klasik British ini yang bergema dengan kuat sudah cukup untuk mendirikan bulu roma para peminat, penggemar dan sesiapa sahaja yang melihatnya berjalan merentasi jalan-jalan kampung dan jalan raya di sekitar Ketereh, Kota Bharu Kelantan. Deruman ini lebih hebat dari motor Chooper ‘easy-rider’ yang kita lihat pada waktu ini. Ianya lebih klasik dan semulajadi asal dari pembuatannya.

Pada awal 80-an, seramai 20 orang ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti guru dan bekerja sendiri telah melihat Motorsikal Klasik British ini sebagai sesuatu yang unik dan mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri. Oleh itu, mereka ini telah bersepakat untuk menubuhkan satu kelab motorsikal klasik yang dikenali sebagai Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK). Satu lagi kelab motorsikal klasik yang diberi nama Kota Bharu Classic Bikers (KBCB) yang terdiri dari 25 orang ahli juga ditubuhkan. Presiden Kelab KBCB ialah saudara Wan Zulkifli Bin Wan Kassim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Zulkiflli telah menerajui kepimpinan KBCB ini.

Antara model-model motorsikal klasik British yang digemari ialah BSA (Birmingham Small Army), NORTON, TRIUMPH, AJS, MATCHELES, dan ROYAL ENFIELD. Motorsikal klasik British ini terdiri daripada 200cc hingga 750cc kuasa kuda dan Motorsikal klasik British ini juga telah dikeluarkan antara tahun 1930-an hingga 1950-an.

Mereka selalu berjumpa, merancang, berbincang, dan menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan kelab dan ahli mereka. Apabila ingin berkonvoi, kedua-dua kelab ini akan bergabung dan berkonvoi beramai-ramai melalui setiap pelusuk bukan sahaja di dalam negeri malah di peringkat antarabangsa juga. Antara aktiviti terkini yang dihadiri dengan jemputan dalam negeri pada tahun ini ialah seperti di Pesta Air Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 30hb dan 31hb Mac 2009, Hari Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Politeknik Kota Bharu (Kok Lanas), Sekolah Menengah Sains Machang, dan pada 10hb Oktober 2009 sebanyak 15 buah motorsikal klasik British akan dipertontonkan di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur, Kuala Besar (Jalan Kedai Buloh-Pantai Cahaya Bulan).



Gambar kenangan motorsikal klasik British yang di pamerkan
di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kelantan.

Di peringkat negeri pula, acara tahunan juga diadakan di mana seluruh kelab motorsikal klasik British akan berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah berpameran. Antara aktiviti di peringkat negeri yang dijalankan seperti berikut; 2004: Kelantan, 2005: Johor, 2006: Kuantan, Pahang, 2007: Kuala Lumpur, 2008: Terengganu, dan 2009: Kedah. Tidak lupa juga jemputan Perhimpunan besar-besaran di peringkat antarabangsa dari sekitar Negara ASEAN seperti Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Filipina, Thailand, Singapura dan Brunei. Ada juga peminatpeminat dari eropah dan India yang turut hadir bagi memeriahkan lagi suasana. Komunikasi ini menjalinkan satu semangat perjuangan bagi penggemar-penggemar motosikal klasik di seluruh pelusuk dunia.


Sijil dari Nine Rider’s Classic Club yang diperolehi dari
Malaysian International Classic Bike Festival Terengganu 2009
pada 1hb hingga 3hb mei 2009 adalah antara bukti penglibatan
kelab motorsikal klasik ini yang masih aktif hingga ke hari ini.

Ahli-ahli kelab motorsikal klasik British ini menganggap aktiviti ini sebagai memenuhi keperluan hobi dan masa lapang tetapi bergerak secara serius. Selain daripada memenuhi keperluan individu sebagai hobi, keperluan sosial yang terkait juga dikeutarakan yang mana kerjasama setiap ahli yang berperanan saling membantu dalam mencari alat-alat ganti dan membaiki motorsikal yang mana kos untuk membaikinya adalah bergantung kepada keadaan motorsikal yang diperolehi dari keadaannya yang terbiar di tepi-tepi rumah kampung, reban ayam, bengkel-bengkel motorsikal lama yang tersadai tanpa ada yang menyedari bahawa motorsikal klasik British ini sebenarnya mempunyai nilai harga yang tinggi. Harga sebuah motorsikal klasik British ini boleh mencecah RM10, 000 hingga RM70,000 ringgit.



Keratan Akhbar Sinar Harian Isnin, 3hb November 2008 bukti yang menunjukkan Motorsikal klasik British ini mencecah harga RM70, 000.


Memandang ekonomi sebagai salah satu teras dalam Seni Urban, ingin diperjelaskan disini bahawa terdapat komuniti masyarakat yang meminati motosikal klasik British yang memperolehi pendapatan lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Dengan adanya nilai keyakinan yang tinggi, mereka percaya hasil jualan motorsikal klasik sebegini mampu mengembangkan lagi empayar dan cita-cita mereka yang ingin melihat suatu hari nanti kelab motorsikal klasik ini akan dipandang serius oleh masyarakat bahawa mereka bukan membuat kerja yang sia-sia tetapi telah melakukan satu transisi kesedaran seni visual pada bidang seni reka industri yang begitu tinggi nilainya. Nilai estetika pada kesedaran ini sudah cukup membuktikan bahawa seni yang dipandang sebagai ekonomi tadi telah diangkat sebagai satu penghargaan buat teknologi manusia dalam arena permotoran dunia suatu ketika dahulu. Jika diamati, teknologi kejuruteraan british ini masih mampu dilihat hingga ke hari ini dengan rekaan yang kukuh dan tahan lama, serta penggunaan material yang mampu menjangkau zamannya. Begitulah pemikiran pereka-pereka terdahulu yang patut dicontohi oleh pereka-pereka masa kini samada dari segi idea, teknik dan penggunaan bahan binaan motorsikal yang digunakan mahupun nilai estetika pada rekaannya.



Penjualan nombor plat pendaftaran ini juga dapat menampung pendapatan
sampingan dan mengembangkan lagi kelab motorsikal klasik British mereka. Jika dilihat dan dihayati, no pendaftaran ini mempunyai nilai estetika yang tinggi dan diminati oleh mereka yang inginkan kehendak melampaui keperluan sebagai simbol kemewahan.



Pengetahuan dan keyakinan pada teknologi seni reka industri ini yang disedari oleh ahli-ahli kelab bahawa mempunyai satu nilai atau kepercayaan tentang motorsikal klasik British ini sebenarnya ia boleh dijadikan sumber pendapatan yang begitu lumayan. Perilaku sosial yang terbentuk oleh ahli-ahli ini menguatkan lagi semangat juang mereka yang pada awalnya diangkat sebagai hobi dan boleh juga dijadikan sebagai sumber pendapatan mereka.

Menurut Presiden Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK) yang dikenali dengan panggilan Cikgu Riedzuan ataupun Cikgu Wan, di sekitar Ketereh sahaja terdapat 10 buah motorsikal klasik British. Pemilik dan ahli kelab sering berkumpul di bengkel Redza Classic yang berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh untuk membaiki dan servis motorsikal klasik British kesayangan mereka.


Senario bengkel Redza Classic yang mana tempat
ahli-ahli Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK)
berkumpul dan menyelenggara motorsikal kesayangan mereka.



Penulis semasa menemu bual Presiden Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK)
yang dikenali dengan panggilan Cikgu Riedzuan ataupun Cikgu Wan.

Pengetahuan yang mendalam dan kepakaran pomen-pomen yang telah diperjelaskan oleh penulis yang menganggap motorsikal klasik British ini sebagai satu Seni Urban dalam konteks kebudayaan dapat dibuktikan bahawa pengetahuan menjadi teras utama dalam Seni Urban iaitu apabila pomen-pomen ini mendapat pendidikan dari pelbagai latar belakang samada secara formal, in-formal dan non-formal. Apa yang penting ialah mereka terus mencari maklumat dalam membaiki dan mengekalkan keklasikan motorsikal kesayangan mereka samada dalam bentuk bertulis atau secara verbal (lisan).



Antara bahan manual yang menjadi panduan dalam membaik pulih
dan menyelenggara motorsikal klasik British di bengkel Redza Classic.







DISKRIPSI DAN INTERPRETASI SENI REKA INDUSTRI :
MOTORSIKAL KLASIK BRITISH.

Pengenalan

Apa yang dapat didiskripsi dan diinterpretasikan di sini adalah berdasarkan kepada motorsikal klasik British sebagai objek kajian dan dapat diperjelaskan melaui kerangka konsep seperti di bawah :






KERANGKA KONSEP YANG TERKAIT SECARA
SISTEMIK DAN KOHEREN DALAM MENJELASKAN
MOTOSIKAL KLASIK BRITISH SECARA DISKRIPSI IMEJ,
INTERPRETASI SIMBOL DAN ANALISIS FORMALISTIK.

Setelah beberapa hari datang bersama bapa untuk mencari responden di rumahnya, namun masih gagal menemui mereka. Akhirnya pada 24hb September 2009, kira-kira jam 10.00 pagi penulis datang menemui Cikgu Rosmaini yang mana merupakan seorang guru yang pernah mengajar penulis di bangku sekolah dahulu di bengkel Redza Classic yang berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh. Beliau yang banyak mengetahui mengenai keadaan motorsikal klasik British ini begitu aktif dalam kelab dan merupakan Setiausaha Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK). Berdasarkan kepada hasil temubual bersama beliau, dapatlah didiskripsi dan diinterpretasi tentang sebuah motorsikal klasik British dari model BSA N20 yang dikeluarkan pada tahun 1941.



Penulis yang sedang menemubual Cikgu Rosmaini yang
merupakan bekas gurunya dan kini memegang jawatan sebagai
Setiausaha Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK).
BSA N20 (1941)



BSA N20 (1941)

Melihat motorsikal klasik British ini, apa yang dapat di rasakan ialah sesuatu yang mengagumkan kerana amat jarang ianya berada di jalanraya kecuali ketika ahli-ahli kelab berkonvoi. Motorsikal klasik keluaran British pada tahun 1941 dari model BSA N20 ini dikatakan pernah digunakan dalam peperangan dunia ke-2. Ianya dikatakan dinaiki oleh askar pada masa itu untuk berperang.



No Siri berangka 2508 pada tangki motorsikal klasik British BSA N20 (1941)
ini adalah bukti bahawa motorsikal ini digunakan oleh askar untuk berperang.

Motorsikal yang didominasikan oleh hampir keseluruhan warna hijau askar ini adalah identiti warna ketenteraan yang menampakkan satu nilai estetika seni yang masih dikekalkan oleh penggemarnya. Apabila kita duduk sahaja atas pelana semasa menaikinya, pasti kita terbayang-bayang kita sebagai seorang tentera pada zaman itu yang hebat dengan membawa senjata perang. Apa yang boleh didiskripsi di sini ialah ciri-ciri pengekalan kesemua bahagian motorsikal ini adalah masih asal dan keasliannya masih dijaga rapi.

Pengungkapan makna ketenteraan pada motorsikal ini diinterpretasi sebagai satu simbolisme yang merupakan satu konsekuensi logik yang disedari oleh penggemarnya dengan penuh keyakinan. Hal sebegini sama ada dalam representasi simboliknya mahupun diikuti oleh rujukan makna yang penuh dengan nilai estetikanya menjelaskan satu pemikiran bahawa setiap manusia itu mempunyai nilai berkesenian dalam apa jua bentuk dan makna. Memetik kata-kata Prof. Dr. Tjetjep Rohendi Rohidi dalam bukunya yang bertajuk ‘Kesenian Dalam Pendekatan Kebudayaan’ bahawa:

`“Berekspresi estetik merupakan salah satu kebutuhan manusia yang tergolong ke dalam kebutuhan integratif. Kebutuhan intergratif ini muncul karena adanya dorongan dalam diri manusia yang secara hakiki senantiasa ingin merefleksikan keberadaannya sebagai makhluk yang bermoral, berakal, dan berperasaan. Kebutuhan estetik, secara langsung maupun tidak langsung, terserap dalam kegiatan-kegiatan pemenuhan kebutuhan lainnya, baik dalam pemenuhan kebutuhan primer, kebutuhan sekunder, maupun kebutuhan intergratif lainnya, yang berkaitan dengan perasaan baik dan benar, adil dan tidak adil, serta masuk akal atau tidak masuk akal.
Pemenuhan kebutuha estetik, seperti juga pemenuhan sebagian besar pemenuhan kebutuhan lainnya, dilakukan oleh manusia melalui kebudayaannya. Dalam pemenuhan kebutuhan estetik ini kesenian menjadi bagian yang tak terpisahkan. Kesenian merupakan unsure intergratif yang mengikat dan mempersatukan pedoman-pedoman bertindak yang berbeda-beda menjadi suatu desain yang bulat, menyeluruh, dan operasional serta dapat diterima sebagai hal yang bernilai. Kedudukan seni menjadi pengintegrasi yang merefleksi konfigurasi dari desain itu.” (Rohidi,T.R.,: 2000 : 9)

Dengan memandang kesenian itu satu subsistem atau unsur dalam kebudayaan, kesenian sebagaimana kebudayaan dapat dilihat kesejajaran konsepnya, yang merupakan satu panduan hidup sesuatu masyarakat dalam sesuatu perlakuan hidupnya; yang mana didalamnya berisikan peringkat-peringkat model kognisi, sistem simbolik, atau pemberian makna yang saling berkait secara menyeluruh dalam simbol-simbol yang ditransmisikan secara hitoris.

Simbol ‘kelantanese’ yang wujud pada masyarakat ketereh yang meminati motorsikal klasik British ini menampakkan satu ciri-ciri kesenian dari dalam diri mereka yang wujud secara semulajadi. Masyarakat Kelantan pada dasarnya, sememangnya gemar akan sesuatu yang unik samada dalam permainan tradisional Wau Bulan, gasing, Sepak Raga, Wayang Kulit Kelantan, Menora, Mak Yong, Dikir Barat dan apa-apa sahaja yang melibatkan kesenian dan kebudayaan, mereka pasti akan bersungguh-sungguh dalam memperlakukannya bagi mencapai aksiologi dalam memanifestasi dan melestarikan impian mereka. Kesedaran visual yang lahir dalam pendukung seni (ahli-ahli kelab motorsikal klasik British) di negeri ini sekaligus menampakkan simbolisme dalam kesenian dan estetika yang unik dalam kebudayaannya.

Selain itu, representasi bahan sejarah seperti motorsikal klasik British ini melambangkan satu identiti sejarah yang masih dikekalkan oleh ahli-ahli kelab motorsikal ini yang sedar akan kewujudannya. Walaupun Kelantan khususnya dan Malaysia pada umumnya pernah dijajah oleh british pada suatu ketika dahulu, representasi seumpama ini dapat memenuhi keperluan terhadap pembentukan rupa seni reka industri ini sebagai simbol sesebuah negara merdeka dan bukan merupakan penglibatan yang hanya wujud bersama arus kemodenan. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941 hingga 1945 juga banyak memberi kesan kepada masyarakat di negeri ini apabila pendaratan di pantai Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada suatu masa dulu.

Lenteran dari peristiwa itu, maka wujudlah satu kesedaran visual bagi mengenang artifak dan bahan sejarah seumpama ini dalam konteks seni reka industri (motosrsikal klasik British) yang dipertanggungjawabkan pada pendukungnya untuk menjaganya seumpama muzium dan memartabatkan kesenian negara. Simbollisme terhadap patriotisme ini saling berkait dengan konsep-konsep kesenian, sistem simbollik, model kognisi, dan pemberian makna yang ditransmisi secara pensejarahan.
ANALISIS FORMALISTIK SENI REKA INDUSTRI :
MOTORSIKAL KLASIK BRITISH.

Pengenalan
Perubahan kebudayaan itu sebenarnya adalah perubahan cara berfikir. Seni Urban itu pula adalah cantuman sistematik dan logikal pengetahuan, teknologi, dan ekonomi yang diujarkan secara koheren dan sistemik. Motorsikal klasik British model BSA N20 yang dibuat pada tahun 1941 ini jelas menampakkan pengembangannya yang bersifat integriti iaitu satu bentuk baru yang mempersatukan dari dalam. Dengan menggunakan pendekatan strategi adaptasi, para pendukungnya mengangkat seni urban ini sebagai sesuatu yang ada perubahan zaman.

Persekitaran sosio budaya yang ada pada seni urban itu dapat juga diperjelaskan dengan menggunakan Intraestetik iaitu :



UNSUR-UNSUR SENI
PRINSIP- PRINSIP SENI

Kerangka Konsep Analisis Karya Seni Urban (Motorsikal Klasik British)


Pada awal 80-an, idea untuk mengangkat Motorsikal Klasik British ini sebagai satu aspirasi bagi mencapai aksiologi dalam kelab motorsikal ini telah diketengahkan oleh mereka yang ada kesedaran seni visual dalam diri mereka. Faktor kesenian dan kebudayaan yang tercantum dalam setiap diri individu itu telah diujarkan dengan penjelasan keaslian senireka industri ini dalam mempersatukan bahan pembinaan dan proses menjadikan motorsikal ini lebih klasik. Dengan mengekalkan ciri-ciri keaslian pada motorsikal ini seperti kerangka motorsikal, enjin, kotak bateri, karia barang, air cleaner, spanar box, kangaroo bar, double stand, side stand, dan lampu perang mampu menampakkan lagi nilai estetik kesenian pada motorsikal klasik ini.

Teknik pembuatannya yang kukuh dan tahan lama hasil daripada teknologi dan teknik pembuatannya daripada teknologi British ini menampakkan keasliannya dalam mempersatukan nilai-nilai estetik yan tiada pada motorsikal pada masa kini. Kemahiran pereka seni reka industri pada masa itu telah menunjukkan satu pencapaian yang luar biasa kerana masih ada lagi insane yang meminati rekaannya itu.

Struktur bentuknya yang klasik itu sungguh mempersona. Lihat sahaja pada rekaan pelananya yang diletakkan spring di bawahnya yang bersifat bahawa semasa menaikinya seseorang itu akan merasa kurang gegaran kerana spring itu sama sifatnya seperti absorber pada motorsikal biasa. Rekaan ini unik sekali kerana sekarang ini sudah tiada lagi rekaan sebegitu.

Lihat teknologi dan teknik rekaan spring di bawah pelana
ini yang bersifat sama seperti absorber atau mengurangkan
gegaran apabila menaiki motorsikal ini.

Selain daripada itu, teknologi rekaan dan teknik pembuatannya juga mengambil kira kemesraan motorsikal klasik ini dengan penggunaannya. Lihat saja pada rekaan lampu perang ini sidah cukup memberitahu kita bahawa, teknologi yang dibuat mengambil kira aspek-aspek keselamatan ketenteraan iaitu ujar Cikgu Rosmainikepada penulis:

“Lampu perang ini dibuat kerana apabila kapal terbang perang dari atas dating untuk menyerang askar yang menaiki motorsikal ini, cahaya yang terlindung dari atap lampu itu akan menutupi cahaya yang keluar…ini merupakan satu tektik peperangan pada masa itu…hasil teknologi ini cukup hebat pada masa itu…”

Terbuktilah disini bahawa pereka pada masa itu sememangnya seorang yang bijak dan menampakkan satu nilai estetika yang tiada pada teknik pembuatan motorsikal yang lain sekaligus mencerminkan satu simbolisme patriotisme pada ketenteraan british pada masa itu.



Teknologi pembuatan Lampu Perang yang menepati citarasa ketenteraan British pada masa itu menunjukkan satu nilai estetika pada rekaannya.


Meter pada motorsikal ini penuh denngan nilai estetik yang tinggi kerana putarannya mengikut perkiraan batuan dan bukan kiraan kilometer menunjukkan satu lagi ciri klasiknya yang tiada pada masa kini.



Meter klasik yang menggunakan kiraan batuan ini cukup klasik dan tiada lagi pada motorsikal kini. Nilai estetikanya cukup tinggi dan itulah sebabnya pemilik masih mengekalkan ciri-ciri estetik pada motorsikal ini.

Selain itu, bagi memudahkan askar-askar British membawa peralatan perang seperti bekalan peluru, beg pakaian, bekalan makanan dan lain-lain keperluan perang, pereka juga telah menciptanya bagi memenuhi keperluan penggunanya. Kini, ianya digunakan untuk meletak beg pakaian untuk berkonvoi oleh ahli-ahli kelab motorsikal klasik ini.






Pereka menciptanya untuk memudahkan askar-askar British membawa peralatan perang seperti bekalan peluru, beg pakaian, dan bekalan makanan.

Keunikan pada plat pendaftaran yang besar ini menunjukkan keunikan pembuatannya pada zaman itu. Saiznya yang besar senang untuk dilihat dan ianya sememangnya unik dan mempunyai nilai estetika pada seni reka industri yang di buat oleh pereka.



Rekaan no plat pendaftaran yang besar senang untuk dilihat dan
unik ini penuh dengan nilai estetikanya. Lampu brek belakang yang
diletakkan pada plat T 9393 itu sungguh unik dan klasik.
KESIMPULAN

Siapa sangka motorsikal yang tersadai pada tiang-tiang rumah kampong, di reban ayam, dan bengkel-bengkel motorsikal sebenarnya mempunyai nilai estetika yang tinggi dan nilai harga yang menjangkau puluhan ribu ringgit. Namun pada awal 80-an, hasil daripada kesepakatan untuk menubuhkan satu kelab motorsikal klasik yang dikenali sebagai Kelab Motorsikal Klasik Kelantan (KMKK) mencerminkan satu kesedaran seni visual yang tinggi pada pendukungnya. Satu lagi kelab motorsikal klasik yang diberi nama Kota Bharu Classic Bikers (KBCB) yang terdiri dari 25 orang ahli juga ditubuhkan. Presiden Kelab KBCB, saudara Wan Zulkifli Bin Wan Kassim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Zulkiflli juga adalah satu perilaku yang mempunyai nilai-nilai dalam mengujarkan pengetahuan yang ada dalam mengenengahkan satu teknologi klasik arena permotoran dunia sekaligus memberi habuan dan hasil sampingan pada ahli-ahli kelab ini sefbagai sumber ekonomi mereka samada secara individu, sosial dan kebudayaan.

Antara model-model motorsikal klasik British yang digemari ialah BSA (Birmingham Small Army), NORTON, TRIUMPH, AJS, MATCHELES, dan ROYAL ENFIELD. Motorsikal klasik British yang terdiri daripada 200cc hingga 750cc kuasa kuda yang dikeluarkan antara tahun 1930-an hingga 1950-an masih lagi dapat dilihat sehingga hari ini. Di Ketereh Kota Bharu, Kelantan masih terdapat kira-kira 10 buah motorsikal klasik British yang tersimpan rapi.

Sifat ahli kelab mororsikal klasik British yang selalu berjumpa, merancang, berbincang, dan menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan kelab dan ahli mereka menunjukkan satu nilai dan kepercayaan dalam diri bahawa perbuatan dan perlakuan itu tidak sia-sia dan tiada pegangan. Aktiviti berkonvoi, kedua-dua kelab ini yang bergabung dan berkonvoi beramai-ramai melalui setiap pelusuk bukan sahaja di dalam negeri malah di peringkat antarabangsa juga melahirkan satu rasa cinta akan keamanan dan sekaligus menampakkan satu simbolisme patrotisme dalam diri dan masyarakat setempat.
Kesimpulan yang dapat dijelaskan disini juga ialah konsep pengetahuan, ekonomi, dan teknologi itu saling terkait secara sistemik dan koheren dalam pembentukan Seni Urban itu.






KERANGKA KONSEP SENI URBAN


Pendekatan interpratif dalam mempersatukan kesemua konsep Seni Urban sebagai satu kebudayaan berdasarkan kepada teknologi dari seni reka industri seperti motosikal klasik British ini bersama dengan pengetahuan dan kesedaran seni visual yang ada, ianya telah menampakkan satu hasil pendapatan sampingan yang kadang-kadang melebihi pendapatan hakiki ataupun sebagai satu sumber ekonomi kepada pemilik dan ahli-ahli kelab motosikal klasik British ini khususnya di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. Semoga mereka mencapai aksiologi atau satu nilai kemanfaatan dalam memperjuangkan Seni Urban ini selamanya dan juga perkembangan seni reka industri dalam konteks kebudayaan setempat, Asia Tenggara dan juga seluruh dunia.

Pada keseluruhannya, motorsikal klasik British ini boleh di bicarakan dalam konteks seni dan kebudayannya; iaitu jika dilihat pada model BSA N20 ini sudah cukup untuk menceritakan bahawa warna hijau askar yang mendominasi pada hampir
keseluruhan motorsikal klasik British ini adalah identiti warna ketenteraan yang menampakkan satu nilai estetika seni yang masih dikekalkan oleh penggemarnya. Ciri-ciri pengekalan kesemua bahagian motorsikal ini adalah masih asal dan keasliannya masih dijaga rapi. Nombor Siri 2508 adalah no siri tentera pada tangki minyak motorsikal ini juga merupakan satu nilai estetika yang di kekalkan bagi melambangkan satu identiti ketenteraan British yang pernah menjajah negara ini pada suatu ketika dulu.

Pengungkapan makna ketenteraan ini telah diangkat sebagai satu nilai berkesenian dalam seni reka Industri serta menampakkan satu simbolisme para pendukungnya (ahli-ahli kelab motorsikal klasik British).

Simbol ‘kelantanese’ yang wujud pada masyarakat ketereh yang meminati motorsikal klasik British ini menampakkan satu ciri-ciri kesenian dari dalam masyarakat pendukungnya atau ahli kelab khususnya yang wujud secara semulajadi. Estetika dalaman ini yang lahir dari kesedaran visual pada pendukung seni (ahli-ahli kelab motorsikal klasik British) di negeri ini sekaligus menampakkan simbolisme dalam kesenian dan estetika yang unik dalam kebudayaannya.

Menyedari akan kewujudan motorsikal klasik British ini, para pendukungnya telah merepresentasi bahan sejarah seumpama ini bagi melambangkan satu identiti sejarah yang masih dikekalkan oleh ahli-ahli kelab motorsikal ini. Representasi seumpama ini dapat memenuhi keperluan terhadap pembentukan rupa seni reka industri ini sebagai satu Simbolisme Patriotisme sesebuah negara merdeka dan bukan merupakan penglibatan yang hanya wujud bersama arus kemodenan sahaja.

Oleh itu, apa yang dapat dikatakan disini ialah secara historisnya penulis melihat bahawa bukan hanya ahli kelab sahaja yang mempunyai kesedaran visual dari segi idea tetapi idea pembuatannya oleh pereka-pereka seni reka industri British telah menampakkan sesuatu yang melampaui zamannya. Ciri-ciri rekaan sebeginilah yang patut dicontohi oleh para pereka masa kini yang mana perlu mengambil kira aspek penggunaan bahan yang kukuh serta teknik dan proses pembuatannya yang jitu dalam memanifestasikan satu ekspresi yang diungkapkan sebagai satu simbol patriotisme hasil daripada cantuman struktur elemen-elemen dan prinsip-prinsip seni yang disenyawakan dalam menghasilkan Motorsikal Klasik British BSA N20 keluaran 1941 ini.

Wednesday, September 1, 2010

Tjetjep Rohendi Rohidi (2000) menyimpulkan budaya sebagai pedoman hidup yang berfungsi sebagai blueprint atau design menyeluruh bagi kehidupan warga masyarakat pendukungnya, sebagai sistem simbol, pemberian makna, model kognitif yang ditransmisikan melalui kod-kod simbolik dan merupakan strategi adaptif untuk melestarikan dan mengembangkan kehidupan dalam menyiasati lingkungan dan sumber daya di sekalilingnya.

Merujuk David Kaplan, Albert A.Manners (2000): budaya adalah suatu golongan fenomena yang diberi muatan makna tertentu oleh antropogi dalam rangka menghadapi soal-soal yang mereka cuba untuk memecahkannya. Ia merujuk pada fenomena yang tidak dapat secara tuntas jelaskan oleh konsep-konsep psikobiologi.

Ziauddin Sardar, Borin Van Loon (2001) mentakrif budaya sebagai perilaku sosial. Bagi yang lain, budaya bukanlah perilaku, melainkan abstraksi perilaku. Budaya mencakup hampir segala sesuatu.

Robert H.Lavenda, Emily A. Schultz (2007) menyatakan bahawa budaya adalah kefahaman dalam merujuk untuk mmepelajari set idea dan kelakuan manusia yang menjadi anggota sesebuah masyarakat.

Roberta Edwards Lenkeit (2007) berpendapat budaya ialah jumlah keseluruhan pengetahuan, idea-idea, kelakuan, dan ciptaan-ciptaan yang dipelajari, dikongsi, dan disebarkan seperti dalam sistem simbolik bahasa. Bahagian-bahagian ini mewujudkan satu corak perubahan-perubahan itu sepanjang masa dan digunakan sebagai panduan dan piawaian bagi tingkah laku untuk ahli-ahli masyarakat.

Aspek kesenian pula terkandung di dalam budaya. Susan K.Langer (1957), kesenian merupakan lambang tamadun manusia sama ada secara sosial atau secara individu. Buku Art Forms (2002 )mendefinisikan kesenian itu indah dengan luahan kecantikan luaran dan dalaman, dan sentiasa hidup dan berkembang.